Aktiviti-Aktiviti oleh Jab.Sistem Maklumat

HARI GURU
Guru Pembina Negara Bangsa
Festival Hari Guru 16,May 2010 menampilkan konsep pertautan antara ilmu dan pembangunan modal insan. Komponen aktiviti sepanjang tempoh pameran adalah seminar, pertandingan, pertunjukan, demonstrasi dan sebagainya yang melibatkan interaksi secara langsung antara warga pendidik, pelajar, sektor korporat, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan masyarakat setempat. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama.
Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.